May 18, 2022

Gelojoh punya pasal, Oyen siap kena bedah… sebab sayangkan si bulus nakal, tuan sanggup buat crowdfunding

Ibarat seperti ‘tidak sah’ jika si bulus Oyen tidak memeningkan kepala pemiliknya, sebagaimana perkongsian wanita ini mengenai haiwan peliharaannya.

Menerusi satu thread di Twitter, wanita berkenaan berkongsi insiden yang menimpa si bulus kesayangannya sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di klinik, baru-baru ini.

Menurut Maliah Md Noor, kucing peliharaannya yang diberi nama Muhammad Oyen Danial Adam Mukris yang turut dijaga bersama teman serumah pada mulanya muntah secara tiba-tiba, namun mereka menganggap ia adalah muntah biasa.

“Tapi pada satu malam tu, nampak Oyen macam lain… dia kejung saja. Ajak main atau makan semua tak mahu. Saya dan housemate, Jaja, ambil keputusan untuk bawa Oyen pergi klinik keesokannya.

“Bila dah dibawa ke klinik, doktor buat x-ray dan nampak ada seperti benda keras dalam perutnya. Doktor veterinar beritahu kemungkinan Oyen tertelan mainan.


Oyen sudah selamat dibedah dan dibenarkan keluar dari klinik selepas dua hari dirawat.

“Rupa-rupanya bukan mainan, tapi makanan sendiri. Gelojoh benar agaknya si Oyen. Doktor pun jelaskan prosedur dan sebagainya dan keseluruhan kos rawatan dianggarkan dalam RM700 macam tu,” kata wanita berusia 28 tahun yang senang disapa sebagai Maya ini.

Bukan satu jumlah yang kecil ditambah pula ia memerlukan kos untuk rawatan selepas pembedahan, Maya dan rakannya bersetuju membuat hebahan di media sosial bagi mengumpul dana untuk rawatan Oyen.

“Alhamdulillah dalam masa kurang daripada lima jam, jumlah danan terkumpul kira-kira RM1,000. Betapa pemurahnya warga Twitter. Sebenarnya kalau buat crowdfunding untuk benda baik, insyaAllah ramai yang tolong. Jangan buat yang bukan-bukan saja.


Oyen dipelihara oleh Maya dan rakannya sejak November tahun lalu.

“Alhamdulillah memang rezeki Oyen. Saya dah pun memadam nombor akaun dan akan kemas kini jumlah bil rawatan Oyen selepas dia dibenarkan pulang. Buat masa ini doktor masih pantau dulu keadaannya sebab baru lepas pembedahan,” katanya yang merupakan ejen jualan kereta.

Menurut Maya lagi, sepanjang dua hari ketiadaan Oyen kerana dirawat, suasana rumah mereka sunyi dengan gelagat nakal si bulus itu.

Pernah je dia buat aksi jenguk kepala dekat balkoni ala-ala nak bunuh diri. Dahlah rumah tingkat 12.

MAYA

PEMILIK OYEN

“Sunyi pulak bila dua hari dia tak ada. Selalu kalau balik kerja je jerit nama Oyen. Rindu gelagat-gelagat dia… ada je nak buat kita pening kepala.

“Oyen ni kami adopt sejak November tahun lepas. Dia satu-satunya penghibur dan dimanjakan kami berdua. Tapi memang cukup buat orang pening kepala. Pernah je dia buat aksi jenguk kepala dekat balkoni ala-ala nak bunuh diri. Dahlah rumah tingkat 12.


Gelagat nakal Oyen yang sering membuatkan Maya geli hati.

“Selain tu dia suka sepahkan meja, suka masuk dalam beg tangan saya… dia fikir dia masih kecil agaknya. Kalau orang buka pintu bilik, dialah serbu dulu dan berdesup lompat atas katil,” katanya bercerita mengenai satu-satunya haiwan peliharaannya itu.

Tambah Maya lagi, bagi mengelakkan insiden yang sama berulang, mereka dinasihatkan oleh doktor veterinar untuk menukar makanan Oyen.

“Lepas ni kena beri wetfood dulu dalam beberapa bulan… kemudian baru boleh beri dia makan kibble.

“Saya tak sangka tweet jadi viral dan mengundang perhatian ramai. Di kesempatan ini, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang retweet dan yang bermurah hati sumbang dana untuk Oyen,” katanya lagi.

artikel dari: mstar