May 17, 2022

Jatuh cinta pandang pertama… mulanya pemuda ingat nak chill sekejap di kampung tapi tak sangka sampai dah bela 500 ekor, tiap-tiap hari bertelur

MUSIM PKP ini ramai yang meluangkan masa di media sosial tak kira lah untuk menjadi penonton mahupun memuat naik video untuk tontonan orang ramai.

Tidak terkecuali juga seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Ladang Bro, 26, rajin memuat naik video di aplikasi TikTok ketika berada di ladang milik neneknya itu.

Salah satu videonya yang tular menunjukkan aksi dia dengan bersahaja memakan tiga jenis telur mentah dan selepas itu membilasnya dengan seteguk budu.

Percaya atau tidak, video tersebut berjaya mencuri perhatian netizen dan mendapat 1.4 juta penonton.

“Ramai yang tanya apa perbezaan telur itik dengan telur ayam kampung dan soalan itu sering diajukan ketika saya buat live.

“Jadi saya buat satu video senang untuk dijadikan rujukan kalau ada yang bertanya tetang perkara itu,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Ladang Bro mengambil masa 5 hingga 6 hari untuk mengumpul 800 biji telur itik.

Menurut anak kedua dari empat beradik itu, reaksi menerusi video berkenaan ternyata bukan dibuat-buat, tetapi memang setiap telur itu mempunyai rasanya yang tersendiri.

Profil TikTok Ladang Bro bukan sahaja memuat naik video review telur tetapi dia juga ada berkongsi beberapa lagi video berkaitan dengan ladang seperti cara untuk menternak itik.

Di dalam video tersebut dia menerangkan perkara asas yang diperlukan untuk menternak itik seperti kos, jenis reban, dedak dan kawasan tanah.

“Benda basic ni semuanya saya belajar dari nenek sebab dia pernah bela 50 ekor itik suatu ketika dahulu.

“Dari segi nutrisi pemakanan, cara nak membezakan itik jantan dan betina serta segala rutin menternak itik saya belajar dari dia. Selebihnya seperti kekerapan dan kuantiti pemakanan saya belajar sendiri dari internet,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Ingat balik Kelantan nak chill sekejap beberapa bulan dan balik ke KL semula. Bila dah datang ke ladang ni, hati saya rasa macam jatuh cinta pula

LADANG BRO

Pada mulanya, dia menternak 200 ekor itik telur dan hasil dari ternakan tersebut dijual kepada pemborong di Pasar Besar Siti Khadijah. Ia mengambil masa lima hingga ke enam hari untuk mengumpul 800 biji telur itik sebelum dijual

Kini dia menternak 500 ekor itik penelur bagi menambah lagi jumlah penghasilan telur kerana katanya, itik bertelur setiap hari.

Neneknya pernah membela 50 ekor itik pada suatu ketika dahulu.

Apabila ditanya mengapa dia mengambil keputusan untuk menguruskan ladang ini, pemuda tersebut menjelaskan bahawa dia ingin mengambil masa untuk menenangkan fikiran di kampung.

“Penatlah dari kecik sampai besar kena belajar. Lepas dah habis belajar terus cari kerja pula.

“Ingat balik Kelantan nak chill sekejap beberapa bulan dan balik ke KL semula. Bila dah datang ke ladang ni, hati saya rasa macam jatuh cinta pula, ‘” katanya sambil menambah sebelum ini dia menetap bersama keluarganya di Selangor.

Dia merupakan graduan dalam bidang jurusan diploma pengurusan perniagaan lepasan International Open College yang terletak di Kuala Lumpur. Sebelum ini, pemuda tersebut pernah menjalani latihan industri di sebuah syarikat kejuruteraan selama tiga bulan dan bekerja di restoran makanan segera selama sebulan.

sumber: mstar