May 17, 2022

Instafamous jangan pentingkan diri

BABY enggan terlalu dikongkong kerana kesibukan kerjayanya sebagai pegawai pemasaran online.

MELIHAT kepada sisi kecantikan dan keayuannya, siapa sangka gadis berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang mempu­nyai pengikut di Instagram seramai lebih 130,000 ini sebenarnya seorang yang berjiwa kental.

Tidak cukup dengan itu, Siti Zulaikha Kamaruzaman, 22, atau lebih mesra disapa Baby juga dikenali sebagai peminat aktiviti lasak terutama berbasikal dan bermain futsal.

Enggan terlalu dikongkong oleh kesibukan kerjayanya sebagai pegawai pemasaran online di sebuah syarikat swasta selain terlibat dalam dunia peragaan, Baby turut aktif di media sosial dan dikenali antara ‘instafamous’ yang aktif.

Namun katanya, pelbagai isu negatif membabitkan ‘instafamous’ ketika ini terutama dalam pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) telah memberi tempias kepada kalangan selebriti media sosial yang lain.

Kepada Kosmo! Ahad, Baby berkongsi kisah basikalnya, kerjaya dan isu selebriti media sosial yang melanggar SOP.

Kosmo! Ahad : Sejak bila Baby minat sukan berbasikal?
Baby: Sebelum ini tidak pernah terlintas untuk me­ngayuh basikal kerana saya lebih cenderung kepada sukan futsal. Namun sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya sukan yang tidak melibatkan sentuhan dibenarkan dan sebab itu saya menceburi sukan berbasikal.

Adakah Baby serius dengan sukan berbasikal?
Nak kata serius sangat tu tidaklah sampai menyertai kejohanan, tetapi saya suka mengembara dengan berbasikal. Banyak tempat saya sudah pergi seperti di Langkawi, Kedah dan Bukit Fraser di Pahang.

Adakah aktiviti berbasikal masih diteruskan ketika ini?
Saya masih teruskan aktiviti ini, namun hanya terbatas di kawasan sekitar Lembah Klang secara berkumpulan dengan jumlah yang terhad bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.

Selain aktiviti berbasikal, boleh Baby ceritakan sedikit berkenaan kerjaya?
Saya bekerja sepenuh masa sebagai pegawai pemasaran dalam talian (online marketing) di sebuah syarikat di Subang Jaya. Selain itu, saya juga seorang freelance untuk peragaan, iklan dan kerjaya ini bermula ­sejak di bangku sekolah lagi.

BABY bijak dalam mengatur kehidupan dan menyimpan impian untuk mempunyai empayar perniagaan sendiri sebelum berusia 30 tahun.

Difahamkan Baby mempunyai pengikut lebih 130,000 di laman Instagram dan telah menjadi instafamous? Boleh berkongsi kehidupan sebagai seorang instafamous?
Kehidupan sebagai instafamous sebenarnya sama seperti individu lain, cuma saya perlu lebih bijak untuk membahagikan masa dalam bekerja di pejabat, di luar (freelance) dan di dalam media sosial serta aktiviti yang saya lakukan pada hujung minggu.

Boleh bagi tips kepada mereka yang ingin bergelar instafamous?
Kita perlu memiliki keyakinan diri dan jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Jadi diri sendiri dan paling penting jangan pernah bandingkan diri dengan orang lain.

Pendapat Baby mengenai isu instafamous yang didakwa sengaja menggunakan populariti melanggar SOP?
Kepada instafamous di luar sana, tolong patuhi SOP dan jangan pentingkan diri sendiri, fikir keselamatan dan kesihatan orang sekeliling. Jangan disebabkan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, instafamous lain yang akan dipersalahkan.

Sebagai rakyat Malaysia, apakah harapan Baby apabila penularan Covid-19 ini masih belum reda?
Jika boleh saya mahu pandemik ini cepat pulih, ramai yang ketika ini terkesan dan ‘struggle’ untuk meneruskan kehidupan ketika ini. Saya juga berharap agar semua penduduk di negara ini mendapat vaksin dengan segera. K!ONLINE