May 21, 2022

Kes COVID-19 India Tengah ‘Menggila’, Selebriti Bollywood Dikecam Lari Bercuti Ke Maldives

Ketika negara India sedang berdepan krisis COVID-19 yang memuncak, beberapa bintang terkenal Bollywood dikecam hebat apabila berkongsi foto bercuti sakan di luar negara.

Difahamkan, ketika negara itu sedang mencatatkan rekod jangkitan membimbangkan, hospital kekurangan sumber dan pertambahan bilangan mayat, ramai golongan ‘kayangan’ cuba keluar daripada kekalutan itu.

Antara lokasi yang menjadi pilihan ialah pulau peranginan Maldives, yang popular bagi golongan berada yang mampu menyewa jet peribadi demi kepentingan sendiri.

Ranbir Kapoor yang menjadi pelakon keenam menerima bayaran tertinggi di Bollywood dilihat meninggalkan India bersama kekasihnya, Alia Bhatt pada 19 April lalu.

“Maldives calling,” tulisnya ketika bersama Bhatt di lapangan terbang Mumbai, India.

Selain itu, pasangan Bollywood Disha Patani dan Tiger Shroff turut berada di kepulauan itu sambil berkongsi foto sedang berjemur di sebuah resort mewah di sana.

Bagaimanapun, kedua-dua pasangan itu sudah kembali ke India namun pada masa sama masih mendapat kecaman hebat dari orang ramai termasuk rakan selebriti.

Bagi memulihkan imej yang tercalar, pelakon Alia Bhatt kini menukarkan profil Instagramnya kepada pusat rangkaian bantuan COVID-19 berkolaborasi dengan wartawan India, Faye D’Souza.

Bintang filem Gully Boy itu juga membantu menyebarkan talian bantuan di beberapa negeri di India menggunakan media sosialnya.

Sama seperti pasangan kekasih Tiger Shroff dan Disha Patani yang kini sedang menggalakkan rakyat di India untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Beberapa bintang terkenal Bollywood yang turut menetap di luar negara turut membantu India, antaranya Priyanka Chopra.

Priyanka dan suaminya Nick Jonas telah melancarkan tabung derma yang telah mengutip lebih 200,000 Pound Sterling (RM1.13 Juta) dalam tempoh sehari.

Awal April lalu, India melaporkan peningkatan tempahan jet peribadi untuk meninggalkan negara tersebut ke Eropah, Asia Barat dan Maldives ketika gelombang kedua COVID-19 mengancam negara itu.

Sumber: Independent.co.uk, HindustanTimes, The Sun