May 21, 2022

Pulanglah Sajat – Aliff Syukri

Selepas beberapa bulan menghilangkan diri, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri memohon rakan baiknya, Nur Sajat agar pulang ke tanah air untuk menyelesaikan semua kontroversi selama ini.

Tutur pemilik nama penuh Aliff Syukri Kamarzaman, 34, itu, Sajat tidak seharusnya melarikan diri dan menyorok kerana kesalahan yang dilakukannya boleh diselesaikan dengan cara yang baik.

“Kepada sahabat saya Sajat, pulanglah ke Malaysia. Ibu bapa dan anak-anak pasti merindui awak pada hari raya ini.

“Saya juga pohon kepada rakyat Malaysia dapat mendoakan perkara yang baik-baik kepadanya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Sementara itu, sejak semalam, Sajat juga kerap memuat naik beberapa hantaran Instagram serta menyatakan kerinduan untuk menyambut hari lebaran bersama keluarga.

Untuk rekod, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman didakwa telah melarikan diri ke sebuah lokasi yang dipercayai di luar negara.

Terdahulu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas usahawan kosmetik tersebut selepas dia gagal hadir prosiding sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina pada 23 Februari lalu.

Sejak waran berkenaan dikeluarkan, Nur Sajat terus menghilangkan diri dan dipercayai menyembunyikan diri bagi mengelakkan dirinya dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sebelum ini Nur Sajat hanya mengemukakan surat MC (sijil cuti sakit) selama dua hari yang diperoleh daripada hospital kerajaan kepada Peguam Syarienya, Zuri Zabuddin Budiman menerusi aplikasi WhatApps.

Kosmo! sebelum ini melaporkan JAIS sedang memburu Nur Sajat selepas waran tangkap dkeluarkan ke atasnya.- K! ONLINE

Sajat di luar negara

Muhammad Sajjad Kamaruzzaman

SHAH ALAM – Polis mengulangi kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman berada di luar negara selepas diburu setelah waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Syariah sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini kemungkinan itu kuat menyatakan sedemikian.

“Bagaimana berada di sana, Wallahu a’lam dan mungkin dia menggunakan kaedah tertentu boleh berada di luar negara.

“Bagaimana sekalipun, kita tidak berputus asa mengesan disebabkan ia merupkan kes Mahkamah Syariah dan pihak mahkamah itu meminta pertolongan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau memberitahu, sekiranya dia berada dalam negara sudah pasti akan dapat menjejak dan mengesannya.

“Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan dan setiap maklumat itu kita ambil tindakan dengan melakukan pengesahan.

“Tapi apa yang berlaku dia tiada di sana,” jelasnya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas usahawan kosmetik tersebut selepas dia gagal hadir prosiding sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina pada 23 Februari lalu. –K!ONLINE