May 21, 2022

“Pemikiran rimba apakah ini?” – Islam itu mudah! Ridhuan Tee terkilan isu pengurusan kubur utamakan kariah, tolak jenazah pesakit Covid-19

Malah pada Selasa, menerusi laporan mStar, Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rashid meluahkan rasa kesal kerana terpaksa berdepan dengan isu kelewatan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 disebabkan oleh beberapa faktor termasuk isu kuota jenazah dan tanah kubur yang mengutamakan kariah.

Malah Muhammad Rafieudin turut berkongsi pengalaman mendakwa berlaku kelewatan pengebumian jenazah seorang pesakit wabak itu disebabkan ‘ditolak’ beberapa tanah perkuburan di Lembah Klang.

Isu itu turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selain Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad yang mengakui kewujudan masalah tersebut.

Sementara itu, isu berkenaan turut mendapat perhatian Profesor, Pusat Pengajian Teras (PPT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang sedih apabila mendengar ada pimpinan kariah menolak jenazah yang bukan ahli kariahnya ketika musim wabak melanda.

Petugas barisan hadapan bertungkus lumus melakukan proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

Sebagai seorang mualaf katanya, beliau sedih melihat gelagat dan sikap segelintir umat Islam yang disifatkan sebagai cetek dalam melihat luasnya Islam.

“Nasib baiklah saya telah memeluk Islam, jika belum rasanya terbantut niat apabila melihat gelagat dan perangai segelintir umat Islam begitu cetek dalam melihat luasnya Islam.

“Terus terang, saya memeluk Islam kerana terpesona dengan kesejagatan Islam, merentasi segalanya. Dalam kata lain, letaklah Islam di mana pun ceruk dunia, kutub mana sekali pun, pasti ia boleh berkembang hebat dan diterima oleh tidak kira bangsa apa sekali pun.

“Begitulah hebatnya Islam, agama Allah SWT yang dibawa oleh Pesuruh-Nya, Baginda, Rasulullah SAW,” katanya menerusi satu catatan di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Ridhuan menyifatkan pemikiran segelintir masyarakat tentang kepentingan kariah itu sebagai ‘pemikiran rimba’ yang membuatkan Islam dilihat begitu sempit.

PROF DR RIDHUAN TEE ABDULLAH

PROFESOR, PUSAT PENGAJIAN TERAS (PPT) UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UniSZA)

“Pemikiran rimba apakah ini, sehingga Islam dilihat begitu sempit. Bayangkan pada zaman dahulu, jemaah haji atau ibu bapa kita meninggal dunia di atas kapal sebelum sampai ke destinasi atau setelah kembali, adakah mayat itu akan ditunggu untuk sampai ke kariahnya atau ke kampungnya, bagi tujuan pengebumian?

“Mayat akan dicampak ke laut saja. Begitulah mudahnya Islam. Bukan menyusahkan. Apakah tanpa kubur, bermakna tidak soleh? Siapa boleh tentukan di mana kita akan mati? Melainkan Allah SWT,” ujarnya.

Dalam catatan itu juga, Ridhuan turut memberi contoh kematian bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di Amerika Syarikat di mana jenazahnya juga tidak dibawa pulang ke kariahnya.

Malah pendakwah itu turut bertanya berapa ramai kubur para sahabat yang tidak dikebumikan di kampung halaman atau kariahnya terutama bagi mereka yang mati syahid ketika berada di medan perang.

“Ada mayat yang tidak ada kuburnya atau tidak ketahuan kuburnya. Adakah kubur begitu penting bagi kita sebagai umat Islam? Apakah kita akan ditanya nanti di alam barzakh, di kariah kubur manakah kita dikebumikan?” katanya.

Tangkap layar WhatsApp mengenai kuota jenazah.

Dalam pada itu, Ridhuan berkata, beliau menyangka kefahaman terhadap Islam semakin mendalam terutamanya dengan perubahan dunia hari ini namun sebaliknya yang berlaku.

Atas sebab itu juga, Ridhuan menyeru semua umat Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar kerana Islam adalah bersifat sejagat, merentasi semangat kariah, kampung, daerah, negeri dan bangsa.

“Jika ada mualaf yang terpaksa keluar Islam, hanya kerana melihat gelagat kita, jangan salahkan mereka, kerana kita terlalu menyempitkan pandangan Islam yang begitu luas.

“Pada hemat saya, jika ditakdirkan suatu hari nanti, sudah tidak ada tanah lagi untuk dikuburkan mayat, tiba-tiba bukan Islam mahu menumpang kebumikan mayat mereka di tanah kubur orang Islam, apakah kita akan menolak hanya kerana dia bukan Islam? Tidak saudaraku…” ujarnya lagi.

Ridhuan turut meminta agar semua masyarakat Islam bermuhasabah diri tentang isu tersebut kerana apabila seseorang itu meninggal dunia, apa yang dibawa adalah iman dan takwa, bukannya kubur di kariah tertentu, wang ringgit, pangkat, keturunan, darjat, bangsa atau apa sahaja dimiliki ketika di dunia.

“Jika status kubur itulah yang persoalan utama, sudah tentu kubur yang paling cantik, paling mahal, yang akan ke syurga, terutama kubur para pembesar-pembesar dunia. Persoalannya, adakah itu Islam sebenarnya?,” katanya.

Sumber: mstar