May 21, 2022

MAtl di lantai hospital: Keluarga mendiang gesa polis siasat kejadian

Keluarga seorang lelaki warga emas yang dilihat merangkak di atas lantai dan cuba memaut pada katil untuk berdiri

sebelum rebah dan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah menuntut polis membuat siasatan mengenai punca kematiannya.

Dalam laporan polis yang dibuat pagi tadi, anak perempuan K Ehambaram, 74, berkata pihak keluarga

mendakwa punca kematian mendiang berpunca daripada jatuh dari katil hospital dan bukan kerana Covid-19.

Katanya, pihak keluarga ingin mencari punca kematian mendiang dan mempertimbangkan

tindakan undang-undang terhadap pihak hospital, atas kecuaian.

“Saya syaki punca kematian beliau disebabkan jatuh katil atas kecuaian pihak hospital dan bukan

disebabkan seperti yang dinyatakan nota keluar hospital yang diberi pihak hospital iaitu pneumonia teruk.

“Saya membuat laporan polis ini bagi memohon pihak polis menyiasat punca kematian dan kecuaian pihak hospital yang jelas

dalam video tersebut (yang tular),” kata anak perempuan Ehambaram, Chitradevi dalam

sidang media di laman sosial Facebook aktivis NGO Malaysia Tamilar Kural, David Marshel, hari ini.

Semalam, Free Malaysia Today melaporkan seorang lelaki warga emas dilihat merangkak di atas lantai dan cuba memaut pada katil untuk berdiri sebelum rebah.

Kejadian itu didakwa dirakam di sebuah wad hospital di Kedah dengan video berkenaan kini tular dan mencetuskan kemarahan warganet.

Lelaki itu dikatakan terbaring di lantai tanpa sesiapa pun datang menjenguknya sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira 40 minit kemudian.

Beberapa video menunjukkan lelaki yang sangat lemah itu cuba berdiri dengan memaut pada katil pesakit lain di lokasi dipercayai wad Covid-19.

Berikutan itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Othman Warijo menafikan dakwaan bahawa petugas di wad Covid-19

Hospital Lama Sungai Petani lambat memberi tindak balas dan rawatan kepada seorang pesakit sehingga dia meninggal dunia di lantai wad berkenaan.

Othman ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai insiden

berkenaan dan telah mengadakan perbincangan dengan petugas-petugas terlibat untuk melengkapkan siasatan.

“Pesakit mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan mendapat jangkitan Covid-19

kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen,” katanya dalam kenyataan.

Dia juga mendakwa bahawa pihak hospital telah menjelaskan kejadian itu kepada keluarga mangsa di mana

mereka dikatakan menerimanya dengan baik, dan mendesak orang ramai untuk berhenti menyebarkan video berkenaan keluarga Ehambaram.

Bagaimanapun, mengulas lanjut perkara itu, David Marshel yang menemani ahli keluarga

Ehambaram ke hospital pagi tadi menafikan kenyataan Othman itu.

Bercakap dengan Malaysiakini, dia mendakwa bahawa keluarga tersebut tidak diberi

penerangan oleh pihak hospital mengenai kejadian terbabit, selain punca kematian pesakit.

“Saya percaya kenyataan tersebut telah dimanipulasi. Ini tak betul, mereka belum melakukan siasatan yang cukup,

dan membuat kenyataan ini. Keluarga tidak diberitahu mengenai keadaannya atau kejadian itu.

“Satu-satunya perkara yang mereka sampaikan kepada keluarga adalah masa kematiannya

dan penyebab kematiannya. Bukan mengenai kejadian yang telah terjadi,” kata Marshel.

Marshel berkata keluarga mereka juga tidak pernah meminta penularan video yang memaparkan Ehambaram didakwa dibiarkan

mati di hospital di Sungai Petani dihentikan bagi menghormati keluarga si mati seperti yang dinyatakan Othman.

Tambah Marshel, mayat Ehambaram telah dibawa oleh pihak berkuasa ke Hospital Alor Setar untuk bedah siasat.

Sumber:malaysiakini