May 18, 2022

“Ronaldo Effect”, Pengikut IG Man. United Meningkat Lebih 2 Juta Orang Dalam Masa 24 Jam

Kepulangan bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo ke kelab lamanya iaitu Manchester United telah memberikan pelbagai kesan termasuklah pada pengikut di akaun sosial media rasmi kelab itu.

Terdahulu, penyerang prolifik itu dilihat sudah hampir pasti berpindah ke kelab Manchester City.

Walaupun sedemikian, Manchester City dilaporkan menarik diri daripada persaingan bagi mendapatkan khidmat pemain kelahiran Portugal itu di saat-saat akhir.

Selepas daripada itu, Manchester united terus menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 36 tahun tersebut dan terus berjaya mengikat kontrak bersamanya.

Perjanjian yang bernilai 19.4 juta pound sterling itu telah menggembirakan peminat skuad The Red Devils kerana bekas ayam tambatan pasukan kesayangan

yang pernah merangkul pelbagai kejuaraan bersama kelab itu akhirnya kembali pulang selepas merantau ke beberapa kelab gergasi di Eropah.

Kesan daripada itu, pengumuman yang dibuat di akaun Instagram rasmi Manchester United tersebut telah menyaksikan bahawa pengikut mereka bertambah dengan agak drastik semalam.

Sebelum pengumuman rasmi dibuat, pengikut Instagram kelab itu dilaporkan hanya berjumlah 43.1 juta sahaja. Namun selepas dua jam, jumlah itu meningkat sehingga 44.3 juta.

Setakat artikel ini ditulis, jumlah pengikut Instagram itu semakin menaik. Sehingga kini, kelab tersebut telah berjaya mengumpul seramai 45.5 juta pengikut di seluruh dunia.

Ronaldo adalah salah satu nama besar dalam bola sepak dunia dan beliau juga merupakan pemain paling terkenal dalam sejarah sukan.

Jadi, tidak hairanlah kesan daripada perpindahannya itu telah melonjakkan jumlah pengikut kelab tersebut di Instagram.

Sumber: Daily Mail