May 18, 2022

Tauke Nekad Tinggalkan Dunia Hiburan – “Lebih Baik Buat Kerja Lain Daripada Terus Dicaci…”

Pelawak Tauke nekad untuk meninggalkan dunia hiburan selepas namanya dikaitkan dengan kontroversi pelawak terbabit kes pemerdagangan manusia pada awal bulan ini.

Tauke berkata, dia tidak menyesal dengan keputusan tersebut sebaliknya percaya rezeki ada di mana-mana meskipun tidak lagi bergelar selebriti.

“Jujurnya, saya kesal dengan apa yang telah berlaku. Kalau saya seorang yang dihina, dikecam saya boleh tahan lagi.

“Tapi kali ini memang keterlaluan. Sampai heret anak-anak dan keluarga saya, menghukum saya tanpa usul periksa.

“Bayangkan, ada yang tuduh saya bapa ayam depan anak-anak dan isteri saya. Adik-adik saya turut dihina kononnya abang mereka makan ‘hasil lendir’.

“Betapa maruah saya dipijak-pijak tanpa belas kasihan. Disebabkan itu, saya tekad dengan keputusan meninggalkan industri hiburan.

“Lebih baik, saya melakukan kerja lain daripada terus menjadi mangsa tohmahan dan cacian,” katanya.

Bagaimanapun kata Tauke dia reda dengan ujian Allah ke atas dirinya.

“Saya mahu belajar memperbaiki diri. Tak guna saya terus menyalahkan orang lain, tetapi saya harus kuat melalui ujian Allah ke atas saya.

“Tapi yang sedihnya kawan-kawan yang dahulu baik semakin menjauhi saya. Boleh dikira dengan jari siapa yang telefon bertanya khabar.

“Sedangkan saya juga banyak membantu ‘kawan-kawan rapat’ saya itu, berkorban untuk mereka. Tapi tak mengapalah,” katanya sedih.

Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, mengesahkan seorang pelawak

yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes pemerdagangan manusia pada awal bulan ini, tidak didakwa di mahkamah.

Sebaliknya menurut beliau, dua individu lain seorang lelaki dan wanita didakwa di mahkamah dipercayai terbabit dalam kes pemerdagangan manusia yang dibongkar polis pada 1 Ogos lalu.

“Seorang pelawak yang sebelum ini dikatakan terbabit dalam kes berkenaan, tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Penahanan pelawak terbabit sebelum ini hanya bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya.

Susulan itu, Tauke, 45, berkata, dia berharap semua pihak menghentikan fitnah yang dilontarkan kepadanya.

“Alhamdulillah, akhirnya kebenaran terbukti, saya bukan bapa ayam seperti didakwa. Keluarga juga lega mendapat tahu saya benar-benar tidak bersalah.

“Jadi, saya harap pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak betul dapat membersihkan nama saya,” katanya.

Tauke atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria juga berharap agar orang ramai berhati-hati memberikan komen, ia boleh menyebabkan fitnah.

“Berhati-hatilah bila komen orang lain. Jadikan apa yang berlaku kepada saya sebagai iktibar. Jangan sesuka hati bagi komen sampai lukakan hati orang lain.

“Komen tanpa usul periksa tanpa tahu cerita sebenar. Akibatnya yang kena tuduh tu yang ‘sakit’,” katanya kesal.

Sumber:gempak.com