May 21, 2022

‘Imigresen Thailand tangkap Sajat, rundingan bawa balik sukar’

Usahawan kosmetik Nur Sajat dilaporkan ditahan oleh imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Penahanan itu dikatakan dibuat selepas Thailand mendapat maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia berkaitan keberadaan Sajat di Bangkok.

Memetik sumber, Harian Metro melaporkan, Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah bersama seorang transgender warganegara Thai.

“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.

“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya.

“Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia.

“Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,”

Menurutnya, Sajat ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand

atas kesalahan berkaitan imigresen dan didakwa di mahkamah pada 9 September.

Dia bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat oleh kenalannya.

Dia bagaimanapun diarah melapor diri kepada pihak imigresen Thailand setiap 14 hari.

Menjawab soalan wartawan, sumber memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding untuk membawa pulang

Sajat bagi menghadapi perbicaraan di mahkamah syariah di Selangor atas kesalahan berpakaian wanita pada tahun 2018.

“Rundingan agak sukar tetapi kita tetap optimis untuk membawanya pulang.

“Sukar disebabkan ada campur tangan pihak antarabangsa membabitkan negara dan pertubuhan tertentu yang menghalangnya,” sumber dipetik sebagai berkata.

Tunggu kebenaran nak pindah Australia

Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat didakwa sedang memohon perlindungan dan kebenaran untuk berpindah ke Australia.

Nur Sajat yang kini dalam pemantauan pihak berkuasa Thailand selepas penahanannya pada 8 September lalu atas kesalahan imigresen dilaporkan sedang berusaha mendapatkan perlindungan daripada negara berkenaan.

Sumber memberitahu bahawa ketika ditahan pihak berkuasa imigresen Thailand pada 8 September lalu, Nur Sajat hanya menunjukkan salinan pasportnya kepada pegawai penyiasat melalui telefon bimbitnya.

“Semakan imigresen Thailand mendapati pasport Nur Sajat dibatalkan kerajaan Malaysia. Dia (Nur Sajat) kemudian menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan memaklumkan adalah seorang pelarian.

“Hasil soal siasat dilakukan pegawai imigresen Thailand, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia.

“Semakan mendapati Nur Sajat memperoleh kad UNHCR yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok,” katanya.

Sumber sama memaklumkan, ibu pejabat UNHCR di Bangkok juga sudah menyediakan peguam untuk Nur Sajat dan dilaporkan bersedia membantunya untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

“Beberapa urusan berkaitan perpindahan Nur Sajat juga sedang diusahakan UNHCR dengan wakil kedutaan Australia di Bangkok,” katanya.

Skuad Khas Harian Metro sedang mendapatkan ulasan UNHCR Malaysia dan Bangkok serta Kedutaan Australia di Malaysia berhubung dakwaan itu.

Ditanya apa alasan sebenar Nur Sajat untuk memohon kad pelarian dan berpindah ke Australia, sumber berkata, usahawan kosmetik itu mendakwa dia mendapat ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam selain diburu lebih 100 penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Sumber:malaysiakini