May 18, 2022

Pelajar Bayar ‘Lump Sum’ Kereta Perodua Aruz Sebagai Hadiah Persaraan Guru Mereka

Guru ibarat lilin membakar diri untuk menerangi orang lain’ — itulah perumpaan orang lama kepada insan yang bergelar ‘guru’ yang masih bermakna sehinggalah ke hari ini. Setiap ilmu yang dicurahkan, langsung tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak-anak didiknya.

Baru-baru ini ada seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Ahmad Bidin, 58, yang bakal menyambut hari lahir pada 16 Disember telah diraikan dalam satu majlis di sebuah hotel langsung tidak menyangka akan menerima sebuah kereta Perodua Aruz sebagai satu penghargaan kepada perkhidmatannya sebagai guru matematik dan matematik tambahan di Kolej Tunku Kurshiah (TKC).

Seorang pengguna Twitter @yaye_zainimenyatakan para pelajar dari kumpulan tahun 1980 sehingga 2021 telah membuat kutipan untuk membayar kereta tersebut secara sekaligus.

Tambah @yaye_zaini lagi, Cikgu Ahmad Bidin telah berkhidmat selama selama 35 tahun sejak hari pertama mula mengajar sehinggalah beliau pencen pada tahun ini. Guru itu juga telah menolak tawaran untuk dinaikkan pangkat menjadi pengetua dan jawatan terakhir yang digalasnya pada tahun ini sebagai penolong kanan akademik.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Cikgu Ahmad menyatakan majlis persaraan selalunya dianjurkan di sekolah. Namun bagi mematuhi SOP, majlis untuk kali ini telah diadakan di hotel yang turut dihadiri oleh bekas guru, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan bekas pelajar.

“Sampai ke saat ini, saya masih terfikir sebab utama bekas pelajar terdiri daripada 38 kelompok (batch) pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1980 hingga 2021 memberikan saya hadiah yang bernilai puluhan ribu ringgit ini.

“Tidak terkata saya dibuatnya, namun saya ucapkan terima kasih kerana menghargai usaha saya yang tidak seberapa ini dalam mendidik mereka.

“Saya sebagai guru hanya bertindak sebagai penunjuk jalan supaya semua pelajar saya dapat lebih cemerlang dalam akademik serta kehidupan,” terang Cikgu Ahmad kepada Utusan Malaysia.

Tambah beliau lagi, perkhidmatannya di sekolah tersebut sejak tahun 1986 sebenarnya banyak dibantu oleh pengetua-pengetua serta rakan sekerja yang cemerlang dan pelajar yang sememangnya sudah bagus.

sumber: thevocket