PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, aktiviti pembalakan dikenal pasti bagus untuk populasi dan habitat harimau.
Beliau berkata, kesan aktiviti itu akan menyebabkan tumbuhan baharu tumbuh sekali gus menggalakkan kehadiran spesies haiwan yang menjadi makanan harimau.
“Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan hutan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau. Populasi harimau akan lebih tinggi apabila berlaku pembalakan di kawasan itu akan ditumbuhi anak pokok.
“Jadi kawasan itu akan dihadiri haiwan seperti kancil yang menjadi makanan harimau. Ia akan memudahkan harimau memburu mangsanya,” katanya dalam satu majlis di Gua Musang, Kelantan, menurut laporan Malaysiakini.
Beliau berkata, sekiranya di dalam hutan simpan, binatang spesies karnivor itu sukar untuk menangkap mangsanya.
Khalim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa aktiviti pembalakan yang berleluasa boleh menyebabkan kepupusan harimau.
Mengulas lanjut mengenai aktiviti pembalakan beliau berkata, pihaknya sentiasa patuh dengan catuan tebangan tahunan (CTT).
Malah tegasnya, aktiviti pembalakan hanya berlaku di kawasan hutan simpan pengeluaran.
“Kita di Kelantan sentiasa patuh mematuhi CTT yang ditentukan oleh Majlis Tanah Negara (MTN). Kita tidak melebihi catuan tebangan yang dibenarkan membabitkan keluasan 3,900ha setahun seperti dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
“Malah pembalakan hanya dilakukan di hutan simpan pengeluaran, bukannya hutan simpan perlindungan,” jelasnya.
More Stories
Enggan Peranannya Terus Dipertikai, Dr Afifi Pulangkan Gelaran ‘Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan
Seorang Datuk Didakwa Selepas Terbangkan Sebuah Helikopter Untuk Ambil Nasi Ganja Di Ipoh
Dibiar Kepanasan Tanpa Penghawa Dingin Selama Sejam, Penumpang Luah Kekecewaan Terhadap Servis MAS